Gambar hiasan

PEMBAYARAN balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menjadi subjek yang sering diperdebatkan.

Pelbagai pandangan dan cadangan disuarakan, ada yang mahu pinjaman itu ‘dihalalkan’, ada juga yang meminta diskaun dan ada yang menegaskan hutang harus dibayar.

Namun di Sarawak, golongan siswazah yang terbeban dengan pinjaman PTPTN beruntung apabila ditawarkan Insentif Bayaran Balik 30:30.

Insentif ini adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan Sarawak melalui Yayasan Sarawak untuk membantu meringankan beban siswazah Sarawak membayar balik pinjaman PTPTN mereka.

Di bawah insentif tersebut, Kerajaan Sarawak berjanji untuk memberi subsidi 30 peratus daripada baki pinjaman mereka.

Untuk layak mendapat insentif tersebut, siswazah mestilah sudah membayar atau menjelaskan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada pinjaman PTPTN mereka.

Lain-lain terma dan syarat juga mesti dipenuhi.

Misalnya, seorang siswazah telah diberi RM10,000 pinjaman PTPTN.

Untuk layak di bawah insentif itu, dia mesti telah membayar sekurang-kurangnya 30 peratus atau RM3,000 daripada pinjaman RM10,000 berkenaan.

Dengan itu, dia layak mendapat insentif 30 peratus ke atas baki RM7,000, iaitu berjumlah RM2,100.

Oleh itu, baki pinjaman siswazah terbabit adalah RM4,900 dan dia hendaklah terus membayar balik pinjamannya berdasarkan baki yang baru itu.

Pendaftaran percuma sebelum 31 Disember 2022 —> https://stssapp.com/

Justeru, para siswazah Sarawak adalah digesa untuk memenuhi tanggungjawab dalam membayar balik pinjaman mereka.

Seperti menurut Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Roland Sagah Wee Inn, seramai 11,095 graduan Sarawak telah mendapat manfaat daripada insentif itu sejak 2019, dengan jumlah RM36.1 juta.

Katanya Sarawak adalah satu-satunya negeri di Malaysia yang menyediakan insentif sedemikian.

Bahkan, RM30 juta lagi telah diluluskan untuk insentif itu bagi tahun depan.

Pada masa ini, Sarawak mempunyai tiga Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) iaitu Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Malah, tiga universiti milik Kerajaan Sarawak iaitu Curtin, Swinburne dan Universiti Teknologi Sarawak (UTS).

Suara Sarawak