MUKAH: Seramai 32 penghuni sebuah rumah pekerja Sago Link Sdn Bhd di Jalan Kampung SAU tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka musnah dijilat api dalam kebakaran, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira 4.34 petang itu, 20 pintu rumah tersebut yang berkeluasan 100 x 20 kaki persegi terbakar 100 peratus.

Usaha awal penghuni untuk memadam api bagaimanapun tidak mendatangkan hasil berikutan keadaan api yang semakin marak dan merebak dengan pantas.

HANGUS…Keadaan kebakaran besar melibatkan rumah pekerja kilang bahan sagu di jalan Kampung SAU.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak yang mengesahkan kejadian berkata, api berjaya dikawal pada jam 5.07 petang oleh pasukan operasi daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah.

“Kawalan penuh dilaksanakan sehingga kerja-kerja pemadaman selesai sepenuhnya dengan memastikan tiada lagi punca api sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 6.10 petang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kebakaran tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa sekali gus mengesahkan kesemua 32 penghuni termasuk dua kanak-kanak terselamat daripada kejadian.

PADAM…Pasukan operasi bomba memadam kebakaran kediaman terbakar.

Tambahnya, kediaman terbabit merupakan bangunan rumah pekerja kilang memproses bahan sagu.

Suara Sarawak