KUCHING: Seorang peniaga kuih dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, kerana terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah berulang.

Tertuduh Mohd Huzairamin Osman, 30, mengaku bersalah selepas satu pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Musli Abdul Hamid.

Mengikut pertuduhan, dia mempunyai tiga rekod lampau di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 pada 6 September 2018, 24 November 2018, dan 24 November 2020.

Tertuduh dibawa keluar dari mahkamah menuju ke bilik tahanan sementara mahkamah sebelum dibawa ke Penjara Puncak Borneo.

Bagi pertuduhan kali ini, tertuduh didakwa sekali lagi mengambil dadah terlarang jenis Amphetamine dan Methamphetamine Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPD Padawan sekitar jam 12.20 tengah hari pada 29 Jun lepas.

Pendakwaan kes di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952, boleh dihukum mengikut Seksyen 39C(1)(b), Akta yang sama.

Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya, manakala Seksyen 39C (1)(b) Akta yang sama membawa hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak melebihi tujuh tahun dan sebat tidak lebih daripada tiga sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh berada di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas menjalani hukuman penjara.

Pendakwaan kes dikendalikan timbalan Pendakwa Raya Mohamad Aiman Mutallib Mohamad Shariff, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak