KUCHING: Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyambut baik untuk pelantikan Senator dibuat daripada ahli Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Justeru, beliau berharap agar Timbalan Perdana Menteri termasuk empat lagi Ahli Parlimen Sarawak yang dilantik dalam Kabinet Persekutuan yang baharu akan membawa suara kumpulan perubatan itu ke Parlimen.

“Sekarang kita ada Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Fadillah Yusof) dan empat lagi Ahli Parlimen dari Sarawak dalam kabinet dan berharap mereka akan membawa apa yang doktor di Sarawak mahu, termasuk pelantikan Senator daripada MMA.

Abang Johari (tengah) bersama-sama isteri, Juma’ani dan tetamu kehormat lain memotong kek sempena Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-50 MMA Sarawak di sebuah hotel di sini, semalam.

“Saya bukan Perdana Menteri, saya cuma Premier, jika tidak saya akan berikan anda jawatan Senator,” katanya ketika berucap sempena Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-50 Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Sarawak di sebuah hotel di sini, semalam.

Selain Fadillah, empat lagi Ahli Parlimen dari Sarawak yang dilantik sebagai menteri di dalam kabinet Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (Menteri Kerja Raya), Datuk Seri Nancy Shukri (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), Datuk Seri Tiong King Sing (Menteri Pelancongan) dan Aaron Ago Dagang (Menteri Perpaduan Negara).

Abang Johari berkata amat menghargai sumbangan ahli MMA Sarawak dan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Sarawak kerana memainkan peranan dalam memerangi pandemik Covid-19.

“Saya mengalu-alukan sokongan profesional penjagaan kesihatan termasuk MMA Sarawak untuk mempertingkat dan menambah baik perkhidmatan penjagaan kesihatan di Sarawak untuk berkhidmat kepada rakyat dengan lebih baik dan memanfaatkan potensi sebagai hab kesihatan dan kesejahteraan masa depan di rantau ini,” katanya.

Terdahulu, presiden MMA Dr Muruga Raj Rajathurai dalam ucapannya menyeru Abang Johari untuk menyokong saranan MMA supaya jawatan Senator diberikan kepada persatuan itu agar ada wakil yang boleh mengemukakan idea untuk sistem penjagaan kesihatan yang lebih baik.

“Salah satu matlamat dan objektif MMA adalah untuk menjaga kepentingan perubatan dan memastikan orang ramai sihat serta membimbing orang ramai untuk kesejahteraan.

“Atas sebab-sebab ini, saya berharap Premier akan menyokong saranan MMA supaya jawatan Senator diberikan kepada MMA untuk membolehkan kami mengemukakan masalah dan idea bagi sistem penjagaan kesihatan yang lebih baik yang boleh dilaksanakan di Malaysia.

“Kami telah menulis surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi kami juga meminta sokongan anda (Abang Johari) untuk melihat sama ada anda boleh membantu kami mendapatkan jawatan Senator ini, bukan politik, tetapi untuk badan bukan kerajaan (NGO) mendapat tempat di bawah kuota NGO dan saya pasti ini akan membantu kami dan orang ramai,” katanya.

Suara Sarawak