KUCHING: Seawal jam 7 malam, ribuan pengunjung sudah membanjiri Stadium Perpaduan, Petra Jaya, di sini bagi memeriahkan sambutan ambang Tahun Baharu 2023.
Keadaan cuaca yang baik juga menyaksikan stadium tersebut semakin meriah apabila orang ramai pelbagai lapisan usia, bangsa dan agama secara berterusan memenuhi ruangan di perkarangan stadium tersebut.

Mereka yang hadir bersama-sama ahli keluarga, rakan sekerja, kawan sekolah dan sebagainya dilihat begitu teruja untuk menyambut kehadiran tahun baharu dalam tempoh beberapa jam lagi.
Apatah lagi sambutan tersebut kelak bakal disajikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan tempatan, persembahan artis-artis ternama negara sebelum acara kemuncak persembahan bunga api tepat jam 12 tengah malam ini.

Malah sambutan itu tidak terhad di dalam stadium sahaja, turut disediakan skrin besar diluarnya untuk pengungjung yang tidak berkesempatan masuk ke dalam, sekali gus memastikan semua berpeluang menyaksikan persembahan dan aktiviti di dalamnya.
Pada masa sama, pengunjung yang hadir turut merakamkan pelbagai gambar kenangan di tirai latar yang telah disediakan.

Dalam pada itu, terdapat juga gerai-gerai menjual makanan dan makanan disediakan di tapak parkir kereta di seberang lokasi sambutan tersebut.

Sementara, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bakal hadir bagi memeriahkan sambutan tersebut pada jam 10 malam, sekali gus merasmikan majlis pertukaran tahun pada jam 12 malam.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah dan lain-lain juga dijangka hadir sama.