Abdul Karim ketika ditemu bual wartawan

KUCHING: Sambutan ambang tahun baharu 2023 diteruskan, namun dalam skala yang lebih sederhana, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Hamzah.

Sebelum ini, sambutan tahun baharu pada 31 Disember dirancang untuk diadakan secara besar-besaran di Tebingan Sungai Kuching.

Namun, setelah mendapatkan nasihat daripada Kabinet kerajaan negeri, lokasi program dipindahkan ke Stadium Perpaduan dalam skala yang lebih kecil.

Menurutnya, sambutan tersebut dikecilkan bagi menyahut seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyeru untuk menunda majlis sambutan sedemikian susulan berlakunya bencana banjir pada masa ini.

“Tidak dinafikan, memang berlakunya banjir di beberapa kawasan, namun ia merupakan situasi tahunan disebabkan Monsun Timur Laut (MTL) yang berlaku setiap hujung tahun.

“Justeru, tidak wajar untuk terus menghentikan program kemeriahan seperti ini. Jadi, adakah tahun hadapan juga tidak disambut? Bagi saya, tiada masalah untuk menyambut, tetapi dalam keadaan yang sederhana.

“Sambil meraikan pertukaran tahun baharu, kita juga mengingati serta bersimpati dengan mereka yang ditimpa musibah, bencana dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual wartawan selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Krismas-Anglican di St Thomas Cathedral Parish Hall, di sini, hari ini.

Dalam pada itu katanya, sambutan ambang tahun baharu ini juga bertujuan untuk mengenang semula segala yang telah berlaku sepanjang tempoh satu tahun ini.

Sementara, sambutan ini akan dimeriahkan dengan persembahan daripada artis tanah air serta pertunjukan bunga api dan akan disiarkan secara langsung di TVS.

Suara Sarawak