AWANG TENGAH bersama-sama peserta program SayD’signers selepas majlis penyampaian sijil di Bandung, baru-baru ini.

BANDUNG: Sarawak bekerjasama dengan Indonesia menerusi program Sarawak Young Designers (SayD’Signers) bagi melahirkan ramai pereka muda berkelas dunia.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan Sarawak sangat menekankan pembangunan sumber manusia yang berkemahiran tinggi.

Justeru katanya, bagi merealisasikan impian tersebut Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (STIDC) memperkenalkan Program Pereka Muda Sarawak atau SayD’Signers untuk berkolaborasi dengan Institut Teknologi Bandung (ITB), Indonesia.

“Fokus kita adalah memastikan program latihan menjadi lebih baik, seterusnya mampu mendidik dan melatih lepasan universiti menjadi pereka perabot berkelas dunia.

“Saya berkesempatan melihat sendiri prototaip rekaan kerusi hasil SayD’signers semasa latihan dan sesungguhnya apa yang dihasilkan sangat menarik dan bertaraf dunia,” katanya pada Majlis Penutupan STIDC–SARADEC dan FSRD ITB Furniture Design Training Program serta Majlis Penyampaian Sijil Tamat Latihan SayD’signers melibatkan Kumpulan Dua, Tiga dan Empat.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di salah sebuah hotel terkemuka di Bandung, Indonesia, baru-baru ini.

Dalam masa yang sama, beliau menzahirkan rasa gembira apabila dimaklumkan program tersebut berjaya melahirkan 26 pereka muda SayD’Signer di ITB sejak 2019.

Jelasnya, bakat muda ini sangat diperlukan untuk membantu membangunkan industri perabot di Sarawak.

“Sehubungan itu, saya menyeru peserta SayD’Dsigners melibatkan diri secara aktif dalam industri perabot antarabangsa untuk mendapatkan pengiktirafan agar diterima pasaran.

“Kerajaan Sarawak juga berharap peserta program SayD’Signers yang bermula pada 2018 terus menunjukkan kejayaan sehingga mampu menjadi pereka perabot terunggul di dunia,” ujarnya.

Tambahnya, kejayaan program ini diyakini memberi impak tinggi ke atas pembangunan sektor perkayuan Sarawak terutama kepada industri perabot.

AWANG TENGAH melihat hasil rekaan kerusi buatan peserta SayD’signers.

Suara Sarawak