KUCHING: Kontraktor pihak ketiga digesa melakukan semakan utiliti laluan kabel bawah tanah sebelum memulakan kerja bagi mengelak kerosakan sekali gus menjejaskan bekalan elektrik.

Itu peringatan Sarawak Energy Berhad (Sarawak Energy) dalam satu kenyataan, hari ini.

Pengurus Wilayahnya, Choo Min Chong berkata, kontraktor harus mengawasi pasukan mereka dengan teliti dan bertanggungjawab atas tindakan masing-masing.

Menurutnya, penggalian kekal dikenal pasti menjadi penyebab gangguan bekalan elektrik baru-baru ini, dipercayai akibat kekurangan perancangan dan penyelarasan yang betul oleh kontraktor.

“Kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang dan menuntut ganti rugi terhadap mereka yang didapati merosakkan kemudahan berkenaan termasuk kabel bawah tanah,” tegasnya.

Sejak tahun 2020, Sarawak Energy mengalami kerugian kira-kira RM2.5 juta daripada lebih daripada 590 kes kemudahan elektrik rosak disumbangkan oleh penggalian pihak ketiga sahaja.

Manakala sebanyak 202 kes turut dilaporkan, menyebabkan kerugian berjumlah RM553,000.

Baru-baru ini, penduduk di sepanjang Jalan Matang dan Malihah terjejas sehingga dua jam dipercayai berpunca daripada gangguan kerosakan kabel bawah tanah.

Sejurus menerima laporan kejadian itu, Sarawak Energy segera mengerahkan pasukan teknikalnya melakukan kerja bajk pulih sehingga masalah itu selesai beransur-ansur dan bekalan dipulihkan secara beransur-ansur dalam tempoh dua jam melalui sumber bekalan alternatif.

Kerja-kerja pembaikan kabel dimulakan serta-merta dan siap sekitar jam 6.30 pagi.

“Apabila kontraktor meninggalkan tapak tanpa melaporkan kejadian itu, Sarawak Energy akan mengenal pasti kontraktor tersebut dan tidak teragak-agak untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap mereka yang terbabit.

“Pada masa yang sama, pembekal elektrik juga akan memastikan pihak berkaitan seperti Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan pemilik projek dimaklumkan untuk tindakan selanjutnya,” tambahnya.

Suara Sarawak