FOTO: GHAZALI BUJANG

KUCHING: Kerajaan Persekutuan baharu pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim diharap memberi pertimbangan khusus supaya Sarawak diberikan peruntukan yang lebih besar.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ia bagi memastikan pembangunan kemudahan infrastruktur dari segi prasarana, pendidikan, kesihatan dan keselamatan di negeri ini tidak ketinggalan serta selari dengan pencapaian diperoleh Semenanjung.

“Ini kerana Sarawak memerlukan banyak lagi kemudahan seperti jalan raya, jambatan, bekalan elektrik, air, yang belum mencukupi dan begitu juga dengan sistem telekomunikasi.

“Dari segi infrastruktur pendidikan, kesihatan dan keselamatan juga harus dipertingkatkan kerana kita tahu banyak sekolah, hospital dan klinik-klinik desa dalam keadaan daif,” katanya ketika diminta pemberita mengulas mengenai pembentukan kabinet baharu di sini,.malam tadi.

Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan menambah, peruntukan besar juga perlu ditekankan ke arah pelaksanaan estet perindustrian dan premis pembuatan di negeri ini.

Mengulas mengenai lantikan lima Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM), Awang Tengah berharap lebih ramai nama MP Sarawak akan dilantik sebagai Timbalan Menteri.

Suara Sarawak