KUCHING: Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bertekad akan memberikan sepenuh komitmen dan usaha dalam memastikan kelancaran perancangan negara atas kapasitinya sebagai Menteri Kerja Raya yang baharu.

Ahli Parlimen Kapit itu juga memberi jaminan akan meneruskan polisi-polisi kementerian terdahulu yang terbukti berkesan di samping menambah baik dasar-dasar yang boleh membawa manfaat kepada rakyat dan negara.

“Sesungguhnya pelantikan ini adalah amanah dan tanggungjawab yang amat penting dalam membantu Kerajaan Perpaduan meneruskan usaha pemulihan ekonomi negara, lebih-lebih lagi menjelang tahun 2023 yang dijangka amat mencabar,” katanya dalam kenyataaan, hari ini.

Nanta, 64, yang juga Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata, beliau akan terus menghormati peranan penjawat awam daripada semua lapisan kementerian yang telah banyak menyumbang idea dan tenaga.

“Kita akan terus bekerja bersama sebagai satu pasukan demi negara tercinta. Saya juga ingin menegaskan saya adalah ‘minister for all, not just for Sarawakians’.

“Maka dengan itu, saya akan memastikan setiap usaha dan inisiatif yang diambil di bawah kementerian ini akan membawa kebaikan kepada seluruh rakyat Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak,” jelasnya.

Untuk rekod, Nanta sebelum ini merupakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, beliau merupakan Ahli Parlimen Kapit memasuki penggal keenam sejak 1999.

Suara Sarawak