KUCHING: Presiden Persatuan Berbasikal Sarawak (SCA), Datuk Benjamin Hasbie menzahir penghargaan atas kepercayaan dan keyakinan yang diberikan untuk beliau terus menerajui badan induk berkenaan bagi tempoh 2022/2024.

Sekali gus, menjadikan kepercayaan diberikan itu untuk meneruskan agenda pembangunan sukan berbasikal di negeri ini.

“Pada hakikatnya, SCA mempunyai wawasan jangka panjang untuk menjadikan Sarawak berdaya saing dalam sukan berbasikal.

CENDERAHATI…Datuk Benjamin Hasbie (tiga dari kiri) menerima cenderahati daripada Presiden Persatuan Berbasikan Bahagian Betong (BDCA), Saiful Hanizam Suhaini (tiga dari kanan).

“Kita telah menggarap hala tuju strategik melalui pendekatan yang dikenali sebagai ‘Revolusi Berbasikal’. Pendekatan ini memberi fokus kepada sukan berbasikal berprestasi tinggi dan rekreasi berbasikal sebagai gaya hidup yang sihat,” ujarnya kepada Arena Suara Sarawak.

Dari aspek sukan berbasikal berprestasi tinggi, SCA akan terus berkerjasama dengan Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) dan Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dalam mencari bakat baharu untuk mewakili negeri ini diperingkat kebangsaan dan antarabangsa.

Di samping itu, pihaknya juga komited terhadap pembangunan kerjaya masa hadapan atlet berbasikal.

Menurut beliau, SCA juga cuba fokus kepada pembangunan pegawai sukan berbasikal seperti komisar dan marshal kejohanan yang diiktirafkan oleh UCI.

“Demikian juga dalam perbangunan kejurulatihan yang akan ditekankan kerana aspek tersebut penting dan mampu menghasilkan pelumba berbakat sekali gus boleh mencetak kecermerlangan,” tegas beliau lagi.

Suara Sarawak