KUCHING: Sarawak Energy Berhad (SEB) akan memulakan pelepasan air terkawal bermusim daripada takungan Loji Hidroelektrik Bakun (HEP) 2,400MW daripada 19 Disember ini hingga 23 Januari depan.

Prosedur tersebut adalah sebahagian daripada amalan pengurusan piawaian pengendali kuasa hidro untuk mengawal paras air hulu dan mengekalkan takungan pada paras selamat.

Menurut SEB, amalan piawaian itu telah dilaksanakan sejak Bakun ditauliahkan pada 2011 dan merupakan amalan biasa untuk
pengendali kuasa hidro di seluruh dunia.

“Komuniti yang berkaitan akan dimaklumkan sekurang-kurangnya dua hari lebih awal daripada yang dijadualkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, sejak penubuhan HEP Bakun, masalah banjir di kawasan hilir telah diminimumkan kerana empangan menahan sejumlah besar air hujan.

Justeru untuk meningkatkan lagi pengurusan paras takungan, SEB melaksanakan sistem pengurusan penghantaran air yang dinamik pada 2020 untuk menyepadukan data mengenai ramalan cuaca dan aliran masuk .

“Ini membolehkan pelepasan air daripada loji Sarawak Energy dimodelkan, menggabungkan corak ramalan cuaca dan menyediakan aliran masuk yang lebih tepat serta ramalan paras takungan sehingga enam bulan atau lebih.

“Di samping itu membolehkan SEB mengendalikan loji hidroelektriknya dengan lebih cekap, sistem menyediakan perancangan dan penjadualan pelepasan terkawal yang lebih baik, menghasilkan pengurusan aras air yang lebih baik di hulu dan hilir untuk memudahkan laluan sungai semasa musim kering dan tebatan banjir semasa musim hujan.

“Sistem itu kini diterima pakai di tiga PPT Sarawak Energy iaitu Batang Ai, Murum dan Bakun untuk menguruskan interaksi antara cuaca, aliran air dan pelepasan air keperluan,” katanya.

Suara Sarawak