KUCHING: Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan Lembaga Pembangunan Bintulu (BDA) bakal menubuhkan syarikat usaha sama untuk mengimport simen dari Siam Cement Group (SCG) di Bangkok, Thailand bagi menangani isu kekurangan dan kenaikan harga simen yang dihadapi oleh industri pembinaan Sarawak.

Hasil daripada inisiatif itu dijangka akan menyaksikan peningkatan bekalan simen untuk Sarawak bagi menangani keperluan segera industri pembinaan.

“Ia juga akan mengurangkan kekurangan dan kenaikan harga simen di Sarawak,” kata SEDC dan BDA menerusi satu kenyataan bersama, hari ini sempena lawatan sambil belajar ke ibu pejabat SCG.

Delegasi SEDC dan BDA bersama-sama Muhammad Abdullah (empat kanan) dan Wan Lizozman (enam kiri) merakamkan gambar semasa mengadakan lawatan sambil belajar ke ibu pejabat SCG di Bangkok, Thailand.

Turut serta Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel dan Setiausaha Kewangan Negeri Dato Sri Wan Lizozman Wan Omar.

Kenyataan itu menambah, kekurangan bekalan simen di Sarawak turut menjejaskan harga simen.

Katanya purata harga seunit simen di Sarawak adalah 15 peratus lebih tinggi daripada di Semenanjung Malaysia dan 4 peratus lebih tinggi daripada di Sabah.

Justeru, katanya isu bekalan dan harga telah memberi kesan serta melambatkan projek pembangunan utama Sarawak.

Menurut kenyataan itu, pengimportan simen adalah tertakluk kepada Sijil Kelulusan yang dikeluarkan oleh Lembaga Industri dan Pembangunan Pembinaan (CIDB) manakala Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bertanggungjawab bagi keputusan dasar import simen.

Pada 2021, Sarawak telah mengimport bahan binaan kapur, simen dan fabrikasi dengan nilai keseluruhan RM206.6 juta, terutamanya dari Semenanjung Malaysia (RM112.83 juta), Indonesia (RM56.3 juta) dan China (RM13.6 juta).

“Dalam menangani isu ini, syarikat usaha sama SEDC-BDA sedang mengkaji kemungkinan untuk mengimport antara 500,000 hingga 1 juta tan metrik simen setahun daripada SCG untuk Sarawak mulai 2023,” katanya.

Suara Sarawak