KUCHING: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada tahun ini membuat 15 serahan kes penyeludupan hidupan liar kepada pihak berkuasa tempatan di Sarawak dan Sabah.

Penolong Ketua Pengarah (Penguatkuasaan) JKDM, Ribuan Abdullah berkata ia terutama melibatkan pergerakan hidupan liar tanpa kelulusan di kedua-dua wilayah itu.

“Kes-kes serahan itu melibatkan komoditi pelbagai spesis fauna yang masih hidup antaranya ular, biawak dan kura-kura,” katanya pada sidang media sempena Mesyuarat Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.

Penolong Ketua Pengarah (Penguatkuasaan) JKDM, Ribuan Abdullah (tengah) bercakap pada sidang media sempena Mesyuarat Operasi Bersepadu Khazanah di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini. Turut kelihatan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain (kiri) dan Ketua Pengarah Perhilitan Datuk Abdul Kadir Abu Hashim (kanan).

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dan Ketua Pengarah Perhilitan Datuk Abdul Kadir Abu Hashim.

Pada masa sama, Ribuan berkata JKDM juga telah membuka sebanyak 23 kertas siasatan dengan pelbagai kesalahan di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesis Terancam 2008 dengan nilai rampasan hampir RM73.4 juta.

Sementara, beliau berkata menerusi OBK 2022, JKDM mengesan peningkatan kemasukan hidupan liar terancam dari luar negara ke Malaysia, khususnya dari Afrika serta pergerakan antara wilayah di Malaysia iaitu dari atau ke Sabah dan Sarawak terutama di lapangan terbang sama ada menerusi kargo, bungkusan dan penumpang.

Katanya pergerakan itu melibatkan pelbagai jenis flora dan fauna serta bahagian-bahagiannya khususnya bagi kura-kura, kulit rusa, pokok hiasan dan juga bulu burung merak tanpa permit atau kelulusan daripada pihak berkuasa yang berkaitan untuk dijadikan haiwan peliharaan dan juga hiasan.

“Seperti sedia maklum, JKDM pada tahun ini telah berjaya menahan sebuah kontena yang sarat dengan dagangan larangan di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) tahun 2017 dan Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesis Terancam Flora dan Fauna Liar (CITES) seperti gading gajah, sumbu badak, tulang singa dan sisik tenggiling,” katanya.

OBK 2022 yang digerakkan oleh JKDM bagi tahun ini adalah untuk menangani isu-isu penyeludupan keluar khazanah bumi Malaysia di samping memastikan negara tidak dijadikan pusat transit bagi dagangan haram hidupan liar dari seluruh pelusuk dunia.

Pelaksanaan operasi itu turut membantu menangani lain-lain jenayah di pintu masuk dan keluar negara, sama ada di sempadan darat, pelabuhan dan lapangan terbang.

Manakala, Razarudin berkata 50 perjawatan baharu Biro Jenayah Hidupan Liar (WCB), Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah diluluskan dan akan distrukturkan di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) PDRM.

Katanya WCB kini dianggotai oleh 16 orang terdiri daripada pegawai polis dan pegawai awam.

“Penubuhan WCB membuktikan bahawa jenayah alam sekitar turut diberikan perhatian serius oleh PDRM dengan tindakan penguatkuasaan secara menyeluruh, selari dengan jenayah-jenayah konvensional dan bukan konvensional lain,” katanya.

Suara Sarawak