KUCHING: Seorang lelaki maut sementara dua lagi cedera parah dalam kemalangan kendiri di Jalan Stutong, di sini awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching Superintendan Merbin Lisa berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 2 pagi melibatkan sebuah kereta Perodua Kenari yang bergerak ke arah Saradise menuju ke bulatan BDC.

Katanya, kereta yang dinaiki mereka telah terbabas dan melanggar sebatang pokok.

Bahagian hadapan sebelah kiri Perodua Kenari mengalami kerosakkan setelah melanggar sebatang pokok di Jalan Stutong dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi.

“Mangsa, lelaki tempatan, 20, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan dalaman di bahagian badan.

“Manakala, pemandu dan penumpang belakang yang juga lelaki tempatan masing-masing berumur 22 dan 21 tahun mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk menerima rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku disebabkan pemandu yang memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol lalu hilang kawalan dan terbabas.

“Post Mortem akan dijalankan pada 1 Januari 2023 jam lebih kurang 9 pagi di HUS,” jelasnya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 menyebabkan kematian.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang 10 tahun dan denda sekurang-kurangnya RM50,000.

Suara Sarawak