PASUKAN ALFA BBP Betong berusaha mengeluarkan seorang pemandu yang tersepit akibat kemalangan dua Hilux berhampiran Tanjung Pais dekat sini, tengah hari tadi.

SKRANG: Seorang parah manakala tiga lagi cedera ringan dalam kemalangan membabitkan dua Toyota Hilux berhampiran Tanjung Pais dekat sini, tengah hari tadi.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Betong Henry Jugah berkata, pihaknya dimaklumkan tentang insiden berkenaan kira-kira jam 12.19 tengah hari.

“Saya bersama-sama lapan anggota pasukan Alfa terus bergegas ke lokasi dan mendapati seorang penumpang masih tersepit.

“Mangsa, seorang wanita parah (penumpang Hilux berwarna putih) akibat tersepit dan terpaksa dikeluarkan menggunakan peralatan khas.

“Selepas bertungkus-lumus selama 10 minit, wanita berkenaan berjaya dikeluarkan dan dikejarkan ke Hospital Betong untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Manakala tiga lagi mangsa hanya mengalami kecederaan ringan.

Jelas Henry, Hilux berwarna kelabu dipercayai milik Bahagian Kejuruteraan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) difahamkan dalam perjalanan dari Kuching hendak ke Kapit.

Sementara Hilux berwarna putih milik Khairol Morsin menuju ke arah Kuching dari Sarikei.

Operasi ditamatkan kira-kira jam 1.42 petang.

PACUAN empat roda milik KKM.

Suara Sarawak