Timbalan Pengurus Besar TBS Bolhassan Iskandar Taibi menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima

 

Timbalan Pengurus Besar TBS Bolhassan Iskandar Taibi menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima

KUCHING: Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) telah menyalurkan sumbangan sejumlah RM4,920 kepada 41 penerima terdiri daripada golongan asnaf berstatus anak yatim piatu.

Sumbangan tersebut tergolong di bawah dua kategori utama program TBS iaitu Program Mengukuhkan Tradisi Keilmuan dan Program Memantapkan Kebajikan Ummah.

Dalam majlis yang sama, TBS turut mengagihkan beg dan peralatan sekolah serta pek makanan kepada semua penerima tersebut.

Bantuan yang diberikan bertujuan untuk meringankan beban dalam kalangan anak-anak yatim dalam membuat persediaan dan persiapan bagi sesi persekolahan yang bakal bermula tidak lama lagi.

Dalam pada itu, Timbalan Pengurus Besar TBS Bolhassan Iskandar Taibi turut menyempurnakan majlis, sekali gus menyampaikan sumbangan kepada para penerima.

Penyerahan sumbangan tersebut telah dilakukan di Akademi Latihan Insan, Ibu Pejabat Tabung Baitulmal Sarawak, di sini, hari ini.

Untuk rekod, setakat 30 November 2022 ini, TBS telah mengagihkan sejumlah RM76.24 juta dan daripada jumlah tersebut, sebanyak RM55.31 juta bantuan telah diagihkan.

Bantuan diagihkan melalui empat program utama iaitu Program Mengukuhkan Tradisi Keilmuan, Program Membangunkan Institusi Islam, Program Memantapkan Kebajikan Ummah dan Program Peningkatan Kemahiran Ummah.

Hadir sama pada majlis tersebut Ketua Sektor Pembangunan & Wakaf Abang Faisal Abg. Marzuki, Timbalan Ketua Sektor Hal Ehwal Korporat Iskandar Allan, Ketua Bahagian Kebajikan Mohamat Shukri Samor dan kakitangan TBS.

Suara Sarawak