Pengerusi Shell Malaysia Datuk Ivan Tan

KUALA LUMPUR: Shell New Ventures Malaysia Sdn. Bhd. (Shell Malaysia) dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) telah menandatangani Perjanjian Kerjasama pada 12 Oktober 2022 lalu untuk bersama-sama meneroka pembangunan Hab Penyerapan Karbon di Malaysia.

Pengerusi Shell Malaysia Datuk Ivan Tan berkata, perjanjian tersebut menyatakan komitmen kedua-dua pihak untuk aktiviti penerokaan dan penilaian bersama-sama formasi geologi serta pembangunan dan operasi Hab Penyerapan Karbon yang berpotensi di luar pesisir Sarawak bagi penyediaan perkhidmatan penyahkarbonan kepada pelanggan serantau merentas sempadan.

“Tetapi tidak terhad kepada molekul sumber Kumpulan Shell dari Singapura dan peluang masa depan global yang lain, dan menyediakan mekanisme untuk perbincangan bersama-sama projek berpotensi sedemikian.

“Perjanjian kerjasama ini dibina berdasarkan Perjanjian Kajian Bersama dan Kerjasama yang ditandatangani sebelum ini dengan Petronas pada 2021.

“Ia merupakan satu peristiwa penting dalam mematangkan penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) sebagai penyelesaian penyahkarbonan berskala komersial untuk industri di Malaysia dan seterusnya,”katanya dalam satu kenyataan

Pihaknya turut berharap agar dapat memajukan kerjasama dengan Petronas untuk bersama-sama membangunkan penyelesaian CCS yang boleh dipercayai dan dipacu teknologi di Malaysia.

“CCS amat penting untuk industri berat, seperti penghasilan keluli, simen, bahan kimia, atau stesen janakuasa yang menggunakan hidrokarbon untuk menjana elektrik yang pada masa ini tiada alternatif karbon rendah berskala.

“Sasaran Shell adalah untuk menjadi perniagaan tenaga pelepasan sifar bersih menjelang 2050. Strategi CCS Shell ialah tonggak utama sasaran iklimnya.

“Cita-cita kita adalah untuk mempunyai akses kepada sekurang-kurangnya 25 juta tan kapasiti CCS setahun menjelang 2035,” jelasnya lagi.

Suara Sarawak