KUCHING: Festival Muzik dan Seni Antarabangsa Sarawak (SIFMA) 2022 melabuh tirai malam tadi dengan persembahan yang menakjubkan dari kumpulan artis tempatan dan antarabangsa.

Pengerusi SIFMA 2022 Dr Geraldine Law-Lee berkata, beliau menyasarkan SIFMA suatu hari nanti terus menjadi menjadi platform yang cemerlang di peringkat antarabangsa.

Dalam masa yang sama katanya, ia dapat menarik lebih ramai penonton dan kumpulan seni datang ke Sarawak dan berkongsi idea masing-masing dalam seni kreatif.

Artis tempatan Laura Munan menyampaikan persembahan pada malam penutup SIFMA 2022.

“Dengan barisan kumpulan seni yang berhimpun dan membuat persembahan pada SIFMA ini, penonton dapat memahami keriangan dan keindahan muzik,” katanya.

Sementara, acara malam tadi di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) dimulakan dengan persembahan dari kumpulan Rhythms of Asia, Koir SIFMA, Orkestra SIFMA dan penari dari Karya Terindah dan Dekiit Leto Dumit diikuti oleh persembahan solo pemain piano dan pemenang anugerah dari Belgium Dr Gilbert de Greeve.

Kemudiannya disusuli persembahan dari artis tempatan seperti Stanley Maringai, Vivian Teo, Jeffrey Tang dan Laura Munan.

Sekumpulan penari dari Filipina mempersembahkan tarian mereka pada malam penutup SIFMA 2022.

Kemuncak SIFMA pada malam itu ialah persembahan daripada Koir Dewan UiTM dengan persembahan memukau mereka menerusi ‘Ewa Bule’ klasik diketuai konduktor dari Jepun yang juga pengarah koral aktiviti UiTMDr Masashi Kishimoto.

Selain itu, penonton disajikan dengan persembahan dari Sekolah Halili Cruz (Filipina), La Danse Studio (Malaysia), Sugapriya Ashok (India), dan Esme Wong, anak kelahiran Sarawak yang merupakan pemain piano yang menetap di Amerika Syarikat (AS).

Satu lagi persembahan yang menghiburkan dan memukau adalah dari artis Singapura, Victoria Chorale, diketuai konduktor Nelson Kwei membawa koir dengan menyanyikan lagu Krismas dan juga ‘That’s What Friends Are For’ Simon Carrington.

Kumpulan Koir dari Koir Dewan UiTM menyampaikan lagu Ewa Bule.

Malam tersebut diteruskan dengan persembahan koir dari Malaysia, Filipina, India dan koir SIFMA tempatan, gabungan koir yang menampilkan tiga penyanyi terbaik Sarawak, iaitu Dole Chanticleer, St.Joseph’s Private School dan Lodge Secondary School.

Turut hadir, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah serta isteri Datin Seri Zuraini Abdul Jabbar, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Snowdan Lawan dan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Hii Chang Kee.

Suara Sarawak