Gambar hiasan

SEDAR tidak sedar, kita sudah hampir pada penghujung tahun 2022 yang hanya berbaki tiga minggu lagi.

Tambahan pula cuti sekolah bermula Sabtu, ibu bapa pasti mengambil tempoh ini untuk membawa anak-anak bercuti.

Bagi masyarakat beragama Kristian pula, semestinya Hari Krismas yang merupakan perayaan utama selain Tahun Baharu 2023 akan datang begitu dinanti-nantikan.

Sudah pasti, kita tidak akan melepaskan peluang untuk membeli barang dan berbelanja mengikut keperluan sendiri dan keluarga.

Sebut perkataan berbelanja, ia berkaitan tindakan mengeluarkan duit untuk membeli barangan ataupun mendapatkan perkhidmatan.

Bagi sesetengah orang, berbelanja itu memerlukan beberapa teknik dan cara khusus supaya tidak berlebihan dan membazir.

Kita boleh katakan, berbelanja itu sebagai satu subjek ekonomi khusus dalam keluarga kerana ia memerlukan komitmen semua ahli keluarga.

Segalanya perlu diambil kira.

Daripada pakaian baharu, pemberian duit Krismas, kos perjalanan untuk melakukan ziarah hinggalah juadah untuk menjamu tetamu yang datang ke rumah harus dikira kosnya.

Perkara-perkara ini sebenarnya satu kelaziman pada musim perayaan dan tidak akan menimbulkan masalah kewangan yang berat, sekiranya seseorang itu berbelanja secara berhemah berdasarkan kemampuan.

Sepanjang musim perayaan ini, orang ramai terutama mereka yang berpendapatan rendah perlu beringat semasa berbelanja agar tidak tertekan atau dibebani hutang selepas perayaan berakhir kelak.

Fenomena berhutang setiap kali perayaan menjadi trend dalam kalangan masyarakat yang sekali gus akan membebankan mereka terutama mereka yang berpendapatan rendah.

Paling membimbangkan, apabila terdapatnya trend untuk berhutang dengan along disebabkan wang kad kredit sudah habis digunakan untuk berbelanja.

Perkembangan ini satu senario tidak sihat dan harus dielakkan oleh semua orang tidak kira tua atau muda.

Selain itu, kewangan yang tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan harian keluarga juga antara punca mereka terpaksa meminjam dan akhirnya berdepan dengan masalah hutang yang serius selepas musim perayaan.

Ubah tabiat berbelanja

Oleh itu, tabiat berbelanja masyarakat perlu diubah mengikut situasi ekonomi semasa dan peningkatan kos sara hidup.

Membuat persiapan dan perbelanjaan untuk musim perayaan adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan, namun yang menimbulkan masalah jika gagal membuat perancangan kewangan walaupun sedia maklum ia sesuatu langkah yang baik.

Ramai orang mempunyai pengetahuan tentang kepentingan menyediakan bajet, namun amalannya masih lagi rendah berikutan tanggapan masyarakat bahawa perayaan hanya setahun sekali.

Penyediaan bajet ini patut menjadi amalan dan tabiat semua orang tidak kira latar belakang dan sosioekonomi, bukan hanya tertumpu pada musim perayaan sahaja.

Sebagai pengguna, kuasa beli dan pilihan adalah di tangan kita sendiri.

Maka hanya kita yang perlu merencanakan persiapan dan perbelanjaan untuk menyambut perayaan.

Malah, bagi keluarga yang mempunyai ramai anak, perancangan ekonomi itu mesti difikirkan dahulu supaya tidak membebankan semasa ingin mendaftarkan anak ke sekolah tahun hadapan.

Cukuplah sekadar merayakan Krismas secara sederhana sahaja, namun dalam suasana ceria dan gembira kerana yang penting dalam meraikan Hari Krismas adalah hubungan spiritual dengan Tuhan.

Kita perlu berjimat cermat kerana dijangka keadaan ekonomi semakin mencabar pada tahun hadapan.

Oleh itu, kita perlu bersedia dari segi mental dan rancangan untuk memastikan perbelanjaan kita terkawal.

Simpan sebanyak mungkin duit kecemasan kerana ia amat berguna pada masa akan datang sebagai cara terakhir kita mendapatkan wang.

Suara Sarawak