TUNJUK BAKAT…Awla Dris mempamerkan kemahirannya melakukan balingan sebagai simbolik penutupan pertandingan tersebut.

KUCHING: Komitmen jitu dilakukan Persatuan Petanque Kampung Rangawan dalam memperhebat program pembangunan sukan Petanque di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.25 Simunjan ketika ini perlu diberi perhatian.

Usaha ke arah itu bukan hanya dapat memberi ruang untuk terus menonjolkan sukan berkenaan kepada penduduk setempat.

Malah, berperanan menjadikan kampung berkenaan sebagai satu-satunya lubuk melahirkan jaguh atau atlet sukan Petanque dari berpotensi tinggi.

Demikian kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.25 Simunjan, Awla Dris ketika mengulas penganjuran Pertandingan Petanque Beregu Tertutup Wanita Kampung Rangawan baru-baru ini.

“Satu usaha yang amat bertepatan sekali dengan adanya penganjuran pertandingan seperti ini.

“Kita akan dapat melihat serta mengenal pasti bakat baharu dan berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi pada masa akan datang,” ujar Awla kepada Arena Suara Sarawak.

Sambil menzahir rasa bangga kerana terdapat atlet wanita dari kawasan DUN Simunjan yang mewakili Sarawak untuk sukan Petanque di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XX MSN Kuala Lumpur 2022.

Awla pada masa sama percaya akan ada anak jati dari kampung sedia ada dalam kawasan DUN Simunjan mewakili Sarawak selepas ini, tidak hanya untuk sukan yang sama malah sukan lainnya.

Suara Sarawak