GAMBAR: GHAZALI BUJANG
Abang Johari (tiga kanan), Nancy (dua kanan) dan Uggah (kiri) melawat mangsa banjir di PPS Surau Darul Ilmi Kampung Sungai Bedaun

KUCHING: Berlakunya banjir di Kampung Sungai Bedaun menunjukkan bahawa sistem aliran air bersepadu serta perparitan yang lebih tersusun diperlukan.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia bagi mengelakkan berlakunya banjir di kawasan rendah di sekitar kampung tersebut.

“Menerusi taklimat yang diberikan tadi, sudah ada pembangun yang dilakukan di kawasan ini. Jadi, saya mahukan sistem aliran air dan perparitan yang lebih bersepadu agar kawasan rendah tidak banjir.

“Kita juga tahu bahawa ada keluarga tambahan dari kawasan Seberang Hilir (penduduk Darul Hana) bakal ditempatkan di skim penempatan semula Sungai Bedaun.

“Oleh itu, pentingnya infrastruktur sedemikian dibangunkan dan digabungkan dengan kampung-kampung yang sedia ada di sekitar kawasan ini.

“Buat masa ini, ia sudah dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) dan Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat lawatan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Surau Darul Ilmi Kampung Sungai Bedaun, di sini, hari ini.

Menjawab pertanyaan wartawan, Abang Johari memberitahu pelan khusus berhubung perkara tersebut ada dan beliau sudah diberi taklimat berkaitan.

Dalam pada itu, lawatan Abang Johari ke PPS Kampung Sungai Bedaun turut ditemani Timbalan Premier merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri dan lain-lain.

GAMBAR: GHAZALI BUJANG
bang Johari, Uggah, Nancy bersama-sama yang lain melawat mangsa banjir di PPS Surau Darul Ilmi Kampung Sungai Bedaun

Suara Sarawak