KURANG daripada 24 jam , kita akan menutup tirai tahun 2022. Apakah kenangan paling terkesan anda alami tahun ini?

Melangkah ke alam rumah tangga?

Mendapat kerja baharu?

Kehilangan ahli keluarga akibat virus Covid-19?

Yang pasti, setiap daripada kita pasti ada memori untuk dikenang sampai bila-bila, sama ada kenangan manis atau pahit.

Justeru, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditarik balik awal tahun ini, rata-rata kehidupan kita menjadi normal semula.

Perkara itu jelas dapat dirasai semasa sambutan Hari Krismas.

Ini kerana aktiviti berkunjung dapat dilakukan semula dan ahli-ahli keluarga dapat berkumpul beramai-ramai.

Jika anda masih ingat, tahun lalu aktiviti sedemikian tidak dapat dilakukan kerana negara kita masih dalam fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Aktiviti berkunjung ke rumah keluarga sempena Hari Krismas hanya dibenarkan kepada individu yang sudah menerima vaksin lengkap manakala bersalaman dan bersentuhan tidak dibenarkan.

Perarakan keagamaan dan upacara nyanyian koir dari rumah ke rumah juga tidak dibenarkan.

Apabila peraturan tersebut dikuatkuasakan pada 24 dan 25 Disember tahun lalu, sambutan dan perasaan teruja untuk meraikan Krismas agak hambar.

Namun pada sambutan kali ini, rata-rata setiap keluarga yang meraikan perayaan tersebut dengan penuh meriah kerana semua aktiviti yang dilarang tahun lalu kini dibenarkan.

Ini yang berlaku di Malaysia, namun keadaan sebaliknya berlaku di negara jiran kita pada Hari Krismas tahun ini.

Menurut laporan media antarabangsa, hampir 46,000 orang dipindahkan dari rumah mereka pada Hari Krismas di Filipina akibat banjir besar.

Dalam bencana itu, dua orang terbunuh dan sembilan lagi hilang selepas hujan lebat bermusim membanjiri bahagian di wilayah selatan Mindanao.

Bencana tersebut melembapkan perayaan terpenting negara yang kebanyakannya warga Katolik ini.

Cuaca buruk telah melanda negara yang mempunyai 110 juta penduduk itu ketika rakyatnya memulakan cuti Krismas yang panjang.

Seperti kebiasaan berjutajuta orang pergi ke kampung halaman mereka untuk perjumpaan keluarga dalam tempoh ini.

Semalam, angka kematian akibat hujan lebat dan banjir yang melanda selatan Filipina terus meningkat kepada 25 orang, manakala 26 individu lagi masih hilang dan sembilan yang lain cedera.

Majlis Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan negara itu melaporkan, hampir 400,000 orang terjejas sementara lebih 81,000 penduduk masih berada di pusat perlindungan.

Jika di Filipina dilanda air bah besar, Jepun pula dihujani salji lebat pada musim perayaan Krismas tahun ini!

Ya, salji lebat merentasi sebahagian besar negara matahari terbit ini sejak 17 Disember lalu.

Seramai 17 orang terbunuh sejak 10 hari lalu dengan beribu-ribu rumah mengalami gangguan bekalan elektrik.

Beberapa kawasan menyaksikan salji turun hampir satu meter dalam tempoh 24 jam dan ini menyebabkan pihak berkuasa menasihatkan orang awam khususnya kepada penduduk di kawasan yang terjejas supaya mengelak melakukan perjalanan demi keselamatan mereka.

Keadaan yang hampir sama turut berlaku di Amerika Syarikat.

Ribut musim sejuk telah membawa bahaya dan kesengsaraan kepada berjuta-juta rakyat negara Uncle Sam ini semasa menyambut Hari Krismas apabila salji lebat dan kesejukan menyelubungi bahagian timur Amerika Syarikat.

Pihak berkuasa melaporkan kematian berkaitan cuaca meningkat kepada sekurangkurangnya 31 orang pada hari tersebut.

Ini antara bencana yang berlaku di luar negara ketika sambutan perayaan itu.

Dalam kita bersuka ria, ada orang yang terpaksa menyambut Hari Krismas penuh cabaran namun kita yakin setiap daripada mereka pasti ada cara tersendiri untuk meraikan perayaan yang disambut sekali setahun ini.

Susulan itu, kita di Malaysia harus bersyukur kerana tidak menghadapi bencana alam sedemikian.

Maka marilah kita mensyukuri segala nikmat yang ada.

Suara Sarawak