PEJAM celik, kita sudah memasuki minggu kedua Disember, sekali gus 2022 akan berakhir dalam tempoh dua minggu lagi.

Tahun baharu 2023 akan disambut dengan letupan bunga api pada tengah malam 31 Disember nanti selain harapan dan cita-cita yang dihajati menanti kira-kira tujuh bilion penduduk bumi ini.

Tahun hadapan dikatakan amat mencabar dari segi ekonomi ekoran konflik antara negara yang tidak menentu, selain ancaman lain seperti wabak dan bencana yang sukar diramal.

Mengimbau kembali peristiwa sepanjang 2022, pelbagai peristiwa baik dan buruk berlaku sepanjang tahun ini di peringkat global mahupun di Malaysia.

September lalu, rakyat Britain berduka dengan kemangkatan Ratu Elizabeth II, monarki Britain paling lama bertakhta dalam sejarah negara itu.

Baginda berumur 96 tahun menghembus nafas terakhir pada 8 September dan bertakhta selama 70 tahun.

Selain itu, Britain juga menyaksikan penjawatan Perdana Menteri yang singkat iaitu Liz Truss yang enam minggu berkhidmat.

Rishi Sunak, berumur 42 tahun, dilantik menjadi Perdana Menteri selepas menghadap Raja Charles III di Istana Buckingham dan menerima titah untuk membentuk kerajaan.

Daftar di —-> https://stssapp.com/

Di sebelah Timur pula, kita digusarkan dengan konflik yang berlarutan antara Ukraine dan Rusia.

Pencerobohan Rusia ke atas Ukraine bermula pada Februari lalu, atas alasan Ukraine mahu menyertai Nato, satu pakatan pertahanan yang dianggotai negara Eropah dan diketuai oleh Amerika Syarikat (AS).

Konflik kedua negara masih berlarutan sehingga kini ketika musim sejuk bakal melanda, sekali gus mengakibatkan ekonomi dunia dan rantaian bekalan makanan terjejas.

Tahun 2022 juga tahun yang dinanti-nantikan oleh pencinta sukan nombor satu dunia iaitu kejohanan Piala Dunia FIFA yang berlangsung di Qatar.

Pelbagai kontroversi dan pertikaian dilemparkan oleh media Barat serta penduduknya, namun kejohanan tersebut berlangsung dengan baik dan lancar.

Peminat bola sepak dikejutkan dengan persembahan memukau pasukan Jepun dan Maghribi yang menewaskan pasukan-pasukan besar seperti Sepanyol, Jerman dan Portugal. Final Piala Dunia FIFA 2022 Qatar akan menyaksikan pertembungan dua gergasi iaitu Argentina yang merupakan juara Copa America dan juara bertahan, Perancis.

Ini merupakan Piala Dunia yang terakhir buat Lionel Messi dan pentas final ini kali terakhir kita akan menyaksikan Messi menari dan menunjukkan magisnya.

Sementara, di Malaysia, sepanjang tahun ini pelbagai peristiwa menarik yang berlaku, ada yang kali pertama dijangkiti Covid-19, pintu sempadan negara dibuka pada 1 April serta bebas menyambut Hari Raya Aidilfitri dan Hari Gawai Dayak setelah dua tahun tidak diraikan.

Selain itu, kemelut politik yang tidak berkesudahan sehinggalah membawa kepada pilihan raya umum (PRU) yang menyaksikan beberapa nama besar politik digugurkan, malah ada yang tewas.

PRU ini sekali gus menyaksikan dalam tempoh empat tahun empat Perdana Menteri mengangkat sumpah untuk jawatan penting dalam negara.

Datuk Seri Anwar Ibrahim, 75, mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Kita juga menyaksikan pembentukan Kerajaan Perpaduan pelbagai gabungan parti politik yang dahulunya bermusuhan satu sama lain, namun, kini bersatu atas nama kesejahteraan rakyat dan negara.

Tahun 2023 dikatakan amat mencabar bagi dunia, semoga tahun hadapan baik-baik sahaja dan hasrat dan impian dihajati dapat tercapai.

Suara Sarawak