BERAPA jam lagi untuk melangkah ke tahun 2023, pasti banyak kenangan sepanjang tahun ini.

Pejam celik, seolah-olah sekejap sahaja waktu kita berjalan dan tanpa terasa tahun baharu pun tiba.

Betul yang Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg selalu katakan, “sik berasa”, segalanya memang tidak terasa dan cepat berlalu.

Banyak peristiwa dan kejadian berlaku tahun ini dan kita bakal berdepan dengan banyak lagi peristiwa dan kejadian pada masa akan datang.

Mengimbau apa-apa yang berlaku sepanjang tahun 2022, pastinya banyak kenangan yang tidak dapat kita lupakan.

Secara peribadi, saya berasakan tahun 2022 merupakan tahun yang sangat mencabar dari sudut masa, keluarga dan tugasan.

Tahun ini, saya seperti sentiasa mengejar masa apabila pelbagai sektor ekonomi dibuka dan keadaan Covid-19 semakin reda. Jadi jemputan untuk membuat liputan pun semakin banyak.

Kami mula kembali kepada keadaan asal iaitu dalam satu hari kadangkadang ada dua program atau aktiviti yang perlu dibuat liputan.

Ia sedikit banyak membuatkan masa saya terhad bersama-sama keluarga, terutamanya apabila ahli keluarga ada membuat parti hari jadi atau program makan bersamasama.

Tugasan pun semakin mencabar dan liputan untuk program-program besar seperti Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) memberi pengalaman baharu kepada saya.

Walaupun sibuk, saya gembira dapat menyiapkan tugasan dengan baik dan beberapa sasaran yang ingin saya capai dalam tahun ini telah pun berjaya.

Salah satunya Anugerah Kewartawanan Kenyalang (KJA) 2022 dan bercuti di Pulau Langkawi.

Walaupun hanya berjaya mendapat perak bagi semua empat kategori KJA 2022, saya masih boleh tersenyum kerana telah melakukan yang terbaik dalam bidang yang amat saya minati iaitu menulis.

Ia lebih bermakna apabila satu daripada empat kategori yang saya sertai ini adalah dalam kategori bahasa Melayu telah mendapat tempat kedua iaitu setelah tiga kali saya menghantar penyertaan.

Pendek kata sejak tahun 2019, 2020 dan 2021 saya menghantar satu penyertaan dalam bahasa Melayu dan tidak berjaya, hanya pada tahun 2022 penyertaan saya ini mendapat tempat di hati juri.

Malah kerana anugerah ini juga untuk pertama kalinya saya berjaya menjejakkan kaki di bandar raya Miri.

Sasaran kedua iaitu bercuti di Pulau Langkawi.

Sebenarnya percutian ini impian saya yang tertangguh dua tahun lalu.

Asalnya, saya ingin bercuti di Pulau Langkawi pada tahun 2020, namun disebabkan Covid-19, hasrat ini terbantut.

Tetapi, setelah keadaan kembali pulih, hasrat bercuti di sana tercapai.

Semua orang mempunyai harapan dan impian untuk membuat yang lebih baik, namun jika hanya ingin membuat perubahan, tidak cukup untuk mencapai semua itu.

Segala harapan dan impian tahun baharu mesti disertakan dengan perbuatan dan usaha yang tinggi.

Melangkah ke tahun baharu yang lebih mencabar, kita pastinya mempunyai azam yang menggunung untuk mencapainya.

Namun, sejauh manakah azam itu mampu dicapai sekiranya kita belum bersedia sepenuhnya atau hanya setakat hangat-hangat tahi ayam sahaja?

Kita perlu percaya pada hakikat dan realiti yang tepat untuk menetapkan azam tahun baharu dan mampu untuk mencapainya. Semuanya berbalik kepada kita untuk menentukan semua impian yang ditetapkan itu mampu dicapai atau tidak.

Pun begitu, semua orang wajar memiliki azam dan impian tahun baharu untuk menentukan hala tuju kehidupan masing-masing.

Semua orang berhak beranganangan, mempunyai impian dan harapan untuk menjadi garis panduan untuk kita berjaya suatu hari nanti.

Sebagai penutup analisis saya pada tahun ini, saya ingin membawa semua yang membaca coretan ini untuk berusaha dan berimpian mencapai segala yang kita inginkan.

Kehidupan kita mungkin mencabar, adakalanya kita disisih, dimarahi, adakalanya kita terasa hati, berputus asa dan kita terasa ingin berhenti.

Tetapi ini proses perlu kita lalui untuk menjadi terbaik kerana dalam tahun-tahun yang akan datang, kita bakal merasai pengalaman lebih hebat.

Suara Sarawak