KUCHING: Dua lelaki tempatan masing-masing dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, kerana terlibat dalam pengambilan dadah berulang.

Tertuduh Zairiza Da’aie Jeraie, 34 dan Addiver Carlvin Goeng, 28, masing-masing mengaku bersalah di hadapan Mahkamah Sesyen berasingan.

Zairiza yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah syarikat didakwa memiliki sebanyak dua rekod lampau mengambil dadah di dua Mahkamah Majistret berasingan pada 16 Ogos 2021 , serta sekali lagi didakwa memasukkan dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine ke dalam badan.

Tertuduh Addiver Carlvin Goeng dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen 4, di Kuching, hari ini.

Mengikut pertuduhan, Zairiza didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kuching, sekitar jam 2.10 petang pada 19 Ogos lepas.

Hakim Afidah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan satu sebat terhadap Zairiza dan memerintah tertuduh menjalani hukuman penjara berkuat kuasa hari ini.

Mahkamah memerintahkan tertuduh di bawah pengawasan pihak polis selama tiga tahun selepas menjalani hukuman.

Manakala, Addiver merupakan penganggur didakwa mempunyai dua rekod lampau pada 22 Januari 2020 dan 22 Februari lepas serta sekali lagi mengambil dadah yang sama jenis Amphetamine dan Methamphetamine.

Dia didakwa mengambil bahan terlarang itu ketika berada di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Bau, sekitar jam 6.50 pagi, 11 Oktober lepas.

Hakim Mohd Taufik Mohd@Mohd Yusoff menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan terhadap tertuduh.

Addiver diperintahkan menjalani hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh tangkap pada 11 Oktober lepas, selain di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas menjalani hukuman penjara.

Pendakwaan bagi kedua-dua kes kes mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dihukum mengikut Seksyen 39 C (1) (b)akta sama.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Aiman Mutallib Mohamad Shariff memohon agar kedua-dua tertuduh dikenakan hukuman berat sebagai pengajaran.

Suara Sarawak