Gambar hiasan

BARU-BARU ini, seorang pesalah muda berusia 20 tahun dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen kerana terlibat rompakan berkumpulan di sebuah kedai makan di Taman Moyan, Batu Kawa.

Dalam kejadian itu, tertuduh yang bersenjatakan samurai telah mengacukan senjata terbabit ke arah seorang pekerja kedai lalu mengambil beg sandang mangsa yang berisi dokumen penting seperti Kad ATM, kad pengenalan dan lesen memandu.

Jika kita melihat kesalahan-kesalahan yang dilakukan pesalah muda atau pesalah berusia awal 20 ini, amat membimbangkan di negara kita.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini, seramai 43 pesalah juvana telah didakwa di mahkamah Kuching.

Daftar percuma di  : https://stssapp.com/

Pesalah Juvana tersebut terlibat dalam pelbagai kesalahan jenayah, narkotik dan komersial.

Ini bermaksud, dalam tempoh tersebut, setiap bulan tujuh orang pesalah juvana ditangkap oleh pihak polis.

Perkara seperti ini pasti amat merugikan kerana belia merupakan tunjang utama masa depan negara.

Bukan sahaja kerugian kepada negara, tetapi individu itu sendiri turut rugi kerana menghancurkan masa depannya dengan meringkuk di dalam penjara dan mempunyai rekod jenayah lampau.

Masalah jenayah dalam kalangan anak muda harus dibendung secepat mungkin bagi mengelakkan kadar jenayah golongan terbabit terus meningkat.

Sudah tiba masanya, kerajaan menyediakan program jati diri seperti yang pernah dilakukan dahulu iaitu Program Khidmat Negara bagi membantu mendisiplinkan golongan belia kita selain menerapkan semangat patriotik.

Secara ringkasnya, program tersebut untuk golongan remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan akan menjalani latihan selama tiga bulan di kem-kem yang ditetapkan.

Tidak dapat dinafikan pasti program seperti ini akan menerima tentangan daripada segelintir daripada ibu bapa, kerana mereka bimbang anak-anak mereka tidak tahan dengan latihan ala-ala ketenteraan.

Apatah lagi zaman yang semakin moden dengan pelbagai kes viral semakin membimbangkan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke program seperti ini.

Namun harus diingat, terdapat ibu bapa yang gagal mendidik anak-anak mereka sehingga menyumbang peningkatan kes pesalah Juvana.

Oleh itu, biarlah kerajaan membantu mendisiplinkan golongan ini. Program tersebut adalah untuk pembinaan sahsiah diri bermatlamatkan membina dan mengukuhkan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda, memupuk perpaduan kaum serta integrasi nasional dan membentuk perwatakan positif menerusi nilai-nilai murni.

Jika kita lihat Korea Selatan, Singapura, Brunei, Filipina, Taiwan, mengarahkan anak muda mereka wajib menjalani program latihan khidmat negara.

Sebagai contoh di Korea Selatan tiada seorang pun anak muda tertinggal termasuklah artis-artis popular mereka wajib menjalani latihan khidmat negara.

Oleh itu, suda tiba masanya kita mengambil pendekatan yang sama dalam membantu mendisiplinkan anak bangsa kita, seiring menuju negara maju.

Suara Sarawak