KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) akan mengadakan ‘Perarakan Kebudayaan Tarian Naga dan Singa’ yang pertama, pada Sabtu ini (17 Disember).

Ditaja sepenuhnya oleh Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, perarakan itu dianjurkan oleh Persatuan Clan Ho (Loh Kong) Kuching Sarawak dan bersama Gu Jin Long Shi Shanzhuang.

Kata Datuk Bandar Kuching Selatan Wee Hong Seng, perarakan ini terdiri daripada 13 rombongan naga, lebih 100 singa, 24 muzik dram dan persembahan kebudayaan lain.

“Perarakan akan bermula dari Bangunan MBKS pada jam 6 petang dan berarak mengelilingi bandar Kuching melalui jalan utama seperti Jalan Padungan dan berakhir di Tebingan Sungai  Sarawak Waterfront,” katanya dalam satu sidang media di Bangunan MBKS, hari ini.

Tambah Wee, perarakan tarian naga dan singa merupakan perayaan masyarakat berbilang budaya di Sarawak dengan pelbagai kaum dan latar belakang.

Beliau turut mendedahkan bahawa Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting dijangka hadir merasmikan perarakan tersebut.

Suara Sarawak