BERCAKAP…Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas

KUCHING: Sarawak akan terus menarik lebih ramai rakyat Indonesia dalam sektor pelancongan perubatan dan bidang pendidikan di negeri ini.Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, usaha tersebut juga dapat memanfaatkan ketersediaan klinik dan hospital perubatan swasta serta institusi pengajian tinggi swasta seperti Universiti Curtin, Universiti Swinburne, Universiti Limkokwing, Universiti UCSI dan Universiti Teknologi Sarawak.

“Pada masa ini, Sarawak menerima jumlah ketibaan warga Indonesia yang tinggi mendapatkan rawatan di pelbagai hospital dan klinik swasta serta pelajar Indonesia yang melanjutkan pelajaran di pelbagai institusi pengajian tinggi swasta di bandar-bandar utama di Sarawak,” katanya dalam ucapan penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks DUN, hari ini.

Uggah merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu menambah, Sarawak dijangka mendapat keuntungan daripada pemindahan ibu negara baharu Indonesia dari Jakarta ke Kalimantan Timur.

“Sehubungan itu, kerajaan negeri akan meneruskan kerjasama ekonomi yang lebih erat dengan Kerajaan Indonesia khususnya di Kalimantan dalam pelbagai bidang,” katanya.

“Antara inisiatif utama termasuk pembangunan ekonomi rentas sempadan melalui pembuatan dan perdagangan, memanfaatkan sumber asli dan hasil pertanian dari Kalimantan yang boleh digunakan untuk aktiviti pemprosesan hiliran di Sarawak,” katanya.

Uggah dalam pada itu berkata, Sarawak mempunyai kemudahan pelabuhan yang menyediakan rangkaian perkapalan yang lebih pantas dan lebih baik kepada ekonomi utama seperti China dan India.

“Bagi memudahkan perdagangan dan memastikan rangkaian dan komunikasi yang lebih baik dalam kalangan pemain industri, pelabur dan komuniti perniagaan, baik dari Sarawak atau Indonesia, kerajaan negeri juga akan menubuhkan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan di Pontianak, Kalimantan Barat, yang akan mempunyai fungsi yang sama seperti Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Singapura Sarawak (STATOS) di Singapura,” ujarnya.

Suara Sarawak