SIBU: Padah menggaji pendatang asing tanpa izin (Pati), seorang tauke kedai nasi ayam di sini didenda RM30,000 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Sesyen, hari ini.

Tertuduh dikenali sebagai Fung Sui Cheng berusia 53 tahun didakwa kerana membenarkan enam orang Pati memasuki premisnya mengikut pertuduhan Seksyen 55E(1) Akta Imigresen 1959/63.

Tertuduh mengaku bersalah atas tuduhan tersebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Marutin Pagan

Seksyen itu memperuntukkan denda antara RM5,000 dan RM30,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya, bagi setiap Pati yang terlibat, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, Fung melakukan kesalahan itu pada 26 November tahun ini kira-kira jam 10.08 pagi di sebuah kedai nasi ayam di Lorong Salim 5B3.

Tertuduh membenarkan enam warga Indonesia berusia 22 hingga 48 tahun memasuki premisnya.

Dalam pada itu, pendakwaan kes dilakukan Pegawai Imigresen Sapura Let manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh bagaimanapun dibenarkan bebas oleh mahkamah setelah membayar denda tersebut.

Suara Sarawak