Sumber : FB Kementerian Kesihatan Malaysia

BINTULU : Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) mengesahkan terdapat sebanyak 15 kes melioidosis di bahagian Samarahan setakat 8 Disember lalu.

Pengarah JKNS Dr Ooi Choo Huck berkata, terdapat tiga kes disyaki yang masih menunggu keputusan dari persampelan alam sekitar.

Sehingga kini, terdapat dua kes kematian akibat jangkitan melioidosis di bahagian itu.

Menurut beliau, melioidosis merupakan sejenis penyakit berjangkit yang disebabkan oleh bakteria Burkholderia Pseudomallei.

Sumber : FB Kementerian Kesihatan Malaysia

“Bakteria ini boleh ditemui di tanah dan air yang tercemar seperti di sawah padi, air bertakung dan juga tasik. Penyakit ini biasanya berlaku pada manusia, haiwan dan tumbuhan.

“Jangkitan kepada manusia berlaku melalui sentuhan secara langsung dengan tanah dan air melalui luka di kulit, termakan atau terminum makanan tercemar, tersedut debu atau titisan air yang tercemar,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sehingga kini, tiada vaksin yang dapat mencegah jangkitan melioidosis.

Justeru, beliau menasihatkan orang awam supaya mengelakkan terdedah kepada air dan tanah yang tercemar dengan bakteria terutama apabila mempunyai luka fizikal atau penyakit kronik.

Suara Sarawak