INFOGRAFIK… Adam Yii mendengar taklimat status perkembangan projek Terminal Bas Miri Sentral oleh pihak kontraktor semasa lawatan kerja di tapak tersebut pada Khamis.

MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) memberi jaminan projek Terminal Bas Miri Sentral yang sedang dibina ketika ini akan siap sepenuhnya pada Ogos 2023.

Datuk Bandar Miri Adam Yii Siew Sang mengakui projek berkenaan mengalami kelewatan lima peratus berbanding jadual asal, namun percaya ia mampu disiapkan seperti yang dipersetujui.

“Bagi memastikan kelancaran projek, kita akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi memantau projek ini agar ia dapat disiapkan mengikut tempoh kontrak yang ditetapkan,” katanya ketika meninjau tapak Terminal Bas Miri Sentral pada Khamis.

Menurutnya, fungsi jawatankuasa khas dibawah Jawatankuasa Tetap Infrastuktur Bandar itu akan memantau secara terperinci status projek berkenaan.

“Jawatankuasa ini akan mengadakan mesyuarat setiap bulan bagi mengetahui status projek dari semasa ke semasa dan sekiranya terdapat kelewatan lagi, tindakan segera akan diambil,” jelasnya.

Adam Yii yang juga Adun Pujut memaklumkan bahawa setakat ini, status projek berkenaan telah mencapai 50 peratus dengan kos pembinaan keseluruhan RM26 juta.

“Projek ini penting kepada masyarakat di sini kerana ia akan menjadi hab perkhidmatan pengangkutan awam untuk bandar raya ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, penyiapan terminal tersebut akan menghubungkan Miri dengan Brunei, Limbang, Lawas dan Sabah serta wilayah tengah dan selatan, iaitu dari Bintulu hingga ke Pontianak di Kalimantan, Indonesia.

Suara Sarawak