Tiga ditangkap terlibat kegiatan dadah
SUPERINTENDEN BARTHOLOMEW UMPIT

BINTULU : Tiga lelaki tempatan ditangkap di sebuah hotel bajet Pasar Lama , di sini, kerana terlibat dalam kegiatan penagihan dadah.

Tangkapan ke atas suspek berumur 18 hingga 28 tahun itu dibuat pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis (IPD) Bintulu,pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Batholomew Umpit berkata suspek ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya(ADB) 1952.

Turut dirampas dadah jenis syabu dengan berat kasar 5.2 gram.

Beliau berkata, hasil ujian saringan awal polis juga mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

Jika sabit kesalahan memiliki dadah di bawah Seksyen 39A(1) ADB 1952 boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan sebatan tidak kurang tiga kali, manakala jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 15(1) ADB 1952 pula, suspek boleh dikenakan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Menurutnya, tangkapan ini merupakan salah satu usaha PDRM dalam mengatasi masalah penyalahgunaan dadah, di samping mencegah aktiviti jenayah di Daerah Bintulu.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti dadah diseru untuk memaklumkan kepada pihak PDRM, IPD Bintulu di talian 086-318304 bagi tindakan lanjut,”tambahnya lagi.

Suara Sarawak