KUCHING: Tiga lelaki dengan rekod jenayah lampau ditahan sekali lagi dalam satu serbuan Ops Lejang di sebuah rumah di Kampung Gersik, dekat sini pada Isnin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Superintenden Merbin Lisa berkata, ketiga-tiga suspek warga tempatan itu juga kerana disyaki terlibat dengan kegiatan mencuri kenderaan.

Menurutnya, semasa serbuan sekitar jam 1.40 petang tersebut pihaknya turut merampas dua buah kenderaan iaitu sebuah kereta jenis Proton Waja dan sebuah motosikal jenis Yamaha 125zr yang pernah dilaporkan hilang di kawasan Kuching.

Suspek ditangkap dalam Ops Lejang di sebuah rumah di Kampung Gersik, Kuching.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kereta berkenaan dilaporkan hilang di Padungan pada 17 Disember lalu, manakala motosikal tersebut dilaporkan hilang di Satok pada 25 Disember lepas.

“Ekoran itu, ketiga-tiga suspek kemudian direman untuk siasatan lanjut,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Tambahnya, siasatan kes akan dijalankan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih tujuh tahun serta hendaklah juga dikenakan denda.

Kereta dan motosikal yang dirampas semasa serbuan.

Dalam hal berkaitan, Merbin mendedahkan ketiga-tiga suspek tersebut juga mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kes dadah dan jenayah.

“Suspek pertama berusia 30 tahun mempunyai lima tekod jenayah lampu, suspek kedua 36 tahun mempunyai tiga rekod janayah lampau manakala suspek ketiga berusia 37 tahun mempunyai sembilan rekod jenayah lampau,” ujarnya.

Dalam pada itu, Merbin mengalu-alukan sebarang maklumat berkaitan kes jenayah atau individu yang mencurigakan di kawasan sekitar untuk dilaporkan kepada pihaknya di talian 082-244444 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Suara Sarawak