KUCHING: Seramai 119 mangsa telah ditempatkan ke tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) susulan bencana banjir melanda kawasan Bau dan Kuching, setakat jam 8 pagi ini.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Sarawak berkata, dua PPS telah dibuka masing-masing di balai raya Kampung Opar dan balai raya Kampung Jugan di Bau.

Manakala satu lagi PPS katanya, dibuka di Dewan kampung Bedaun, Jalan Sultan Tengah.

BUKA….keadaan terkini PPS di balai raya Kampung Opar, Bau.

“PPS pertama dibuka di Kampung Opar pada semalam telah menempatkan seramai empat mangsa dari seorang Ketua Isi Rumah (KIR).

“PPS balai raya Kampung Jugan pula dibuka pada jam 1.39 pagi bagi menempatkan 40 mangsa terdiri daripada 15 KIR.

“Manakala PPS Dewan kampung Bedaun telah dibuka seawal jam 4.38 pagi bagi menempatkan 75 mangsa,” kata kenyataan itu, hari ini.

PINDAH…Pihak APM menjalankan pemeriksaan terhadap mangsa yang dipindahkan ke PPS.

Sementara itu katanya, sebanyak 54 lokasi pemantauan Monsun Timur Laut (MTL) dilaksanakan oleh APM di seluruh negeri Sarawak.

“Hasil laporan pemantauan menunjukkan beberapa lokasi berisiko banjir di kawasan Samarahan, Sibu dan Mukah meningkat.

“20 lokasi daerah Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Asajaya menunjukkan status air meningkat,” ujarnya.

Tambahnya, Bahagian Sibu melaporkan 11 daripada 13 lokasi pemantauan menunjukkan status air meningkat.

“Diikuti tujuh lokasi di Mukah dan dua di Bintulu masing-masing menunjukkan status air meningkat,” katanya.

Suara Sarawak