SIBU: Tiga lelaki didenda RM2,000 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana mendatangkan kecederaan terhadap seorang lelaki yang merupakan rakan mereka.

Tertuduh Lau Hieng Ming, 31, Ambrose Goh, 30, dan Ho Soon Wee, 28, mengaku bersalah terhadap pertuduhan bersama yang dibacakan kepada mereka atas kesalahan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap rakan mereka yang hanya dikenali sebagai Chong berusia 30 tahun.

Pergaduhan itu tercetus susulan sedikit salah faham antara mereka dengan ketiga-tiga tertuduh dan mangsa adalah rakan.

Ketiga-tiga mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga satu tahun atau dengan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, mereka didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah bistro di Jalan Lau King Howe pada 20 November 2022, kira-kira jam 10 malam.

Pada hari kejadian semasa mangsa sedang merakam video di hadapan sebuah bistro bersama-sama teman wanitanya, mangsa telah diserang oleh ketiga-tiga suspek dari belakang.

Akibat serangan itu, Chong mengalami kecederaan pada tangan kiri, pipi kanan serta lutut kiri yang kemudiannya tampil membuat laporan polis yang menjurus kepada penahanan ketiga-tiga tertuduh.

Siasatan polis kemudian mendapati mangsa dipukul berikutan salah faham ketiga-tiga tertuduh yang menyangka Chong mahu merakam video mereka untuk dimuat naik ke dalam media sosial.

Salah seorang tertuduh juga telah mengambil telefon bimbit mangsa dan memadamkan rakaman video yang diambil mangsa, sebelum memulangkan semula telefon bimbit itu kepada mangsa.

Kejadian turut disaksikan oleh tiga saksi yang melihat ketiga-tiga tertuduh bertindak memukul mangsa.

Suara Sarawak