SERIAN: Sebuah kenderaan jenis Perodua Alza terlibat dalam satu kemalangan kendiri dan terbabas di bahu jalan Kampung Stabun Batu 37, Jalan Kuching-Serian, di sini, hari ini.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan tersebut sekitar jam 9.01 pagi tadi.

Sejurus menerima laporan tersebut, enam anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian diketuai komander operasi PBK II KUP Dobbin Dindot digegaskan ke tempat kejadian.

TERBABAS… keadaan kereta dipandu mangsa terlibat dalam kemalangan kendiri.

Menurutnya, tiga mangsa, pemandu seorang lelaki tempatan, 36, serta dua penumpang warga Indonesia (lelaki, 4, dan perempuan, 55) tersepit di dalam kereta akibat kejadian tersebut.

“Dua orang mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pihak bomba, manakala seorang lagi mangsa yang cedera dikeluarkan pasukan bomba.

“Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terus menghantar dua mangsa pertama, diikuti mangsa yang dikeluarkan kemudian ke Hospital Serian menggunakan jentera EMRS untuk tindakan susulan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

TERSEPIT… mangsa tersepit di bahagian pemandu kereta.

Setelah memastikan keadaan terkawal dan selamat, pasukan bomba berangkat balik ke balai dan operasi ditamatkan kira-kira jam 9.43 pagi.

Mendedah lanjut, pemandu kenderaan mengalami kecederaan di pinggang, manakala penumpang wanita cedera parah di bahagian kepala. Sementara, kanak-kanak lelaki tidak mengalami sebarang kecederaan.

Suara Sarawak