MIRI: Polis sentiasa mengambil perhatian mengenai aktiviti pengedaran dadah di sekitar Batu Niah serta bertindak pantas menangani kegiatan ini.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu mengesahkan menerima beberapa aduan berkaitan aktiviti penjualan dadah di sekitar kawasan Batu Niah.

Berpandukan rekod operasi yang dilakukan sejak Januari sehingga November 2022, sebanyak 62 serbuan dijalankan dengan 70 tangkapan dilakukan oleh Balai Polis Bekenu.

Alexson Naga Chabu

“Manakala Balai Polis Batu Niah berjaya melakukan 72 operasi dengan 80 tangkapan dan merampas dadah jenis Methampthetamine sebanyak 182.29g dan 58.5g,” jelasnya.

Kejayaan operasi ini hasil maklumat orang awam yang sentiasa bekerjasama dengan polis untuk membanteras jenayah.

Pihak polis katanya, sentiasa menjalankan pelbagai operasi untuk mengekang aktiviti ini di kawasan yang menjadi sasaran penggunaan serta penjualan dadah.

Penyalahgunaan dadah satu pandemik yang telah melanda masyarakat sejak sekian lama dan menggugat sosial ekonomi negara.

IPD Miri menggesa masyarakat untuk sentiasa menyalurkan maklumat penting kepada balai polis berdekatan dalam membenteras gejala tidak sihat ini agar ia dapat dihapuskan sepenuhnya.

Suara Sarawak