MENANG…Annuar (tiga kanan) menyerahkan hadiah cabutan bertuah kepada salah seorang peniaga DUBS Samarahan

KOTA SAMARAHAN: Prasarana pasar malam Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Kota Samarahan perlu ditingkatkan bagi memastikan perkembangan perniagaan lebih baik menjelang tahun mendatang.

Pegawai Daerah Samarahan Annuar Da’an berkata, ia mengambil kira seperti pasar malam (Uptown) Miri yang dilengkapi dengan tempat ibadah serta tapak berbumbung untuk keselesaan para peniaga dan juga pengunjung.

Katanya, DUBS Uptown Samarahan antara tapak perniagaan tumpuan dengan melihat rekod perkembangan drastik semenjak tujuh tahun ditubuhkan.

“Saya yakin Ahli Parlimen Samarahan, Datuk Rubiah Wang memberi sokongan kepada kita untuk mengembang dan menunjukkan minat besar dalam usaha membangunkan ekonomi usahawan terutama kepada peniaga tempatan.

“Ini penting berikutan ekonomi negara dijangka meruncing pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam ucapan penangguhan majlis bagi mewakili Rubiah di perkarangan Uptown DUBS Samarahan sempena Ambang Tahun Baharu, semalam.

Majlis turut menyaksikan Ambang Tahun Baharu 2023 bermula malam semalam (30 Disember) sehingga hari ini yang diadakan di lokasi sama mendapat sambutan meriah dalam kalangan pengunjung.

Antara objektif penganjuran program adalah menghargai peniaga Uptown, memupuk semangat peniaga untuk lebih berdedikasi dan menjadi inspirasi kepada peniaga lain.

Suara Sarawak