KUCHING: Seorang lelaki warganegara Indonesia ditemui mati lemas di Sungai Tabuan dalam kawasan Zon Perindustrian Bebas Samajaya, di sini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata mayat Stepanus Selat, 22, dijumpai kira-kira jam 12.20 tengah hari ini oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada jarak tiga meter dari lokasinya dilaporkan jatuh.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kelihatan tangan mangsa di permukaan air, selepas terjatuh ke dalam sungai ketika menjala ikan bersama seorang rakannya di Sungai Tabuan dalam kawasan Zon Perindustrian Bebas Samajaya, di sini.

Terdahulu, beliau berkata pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan mangsa daripada rakannya, Sigi Kaya kira-kira jam 6 petang semalam setelah menyedari mangsa hilang ketika mereka sedang menjala ikan di Sungai Tabuan.

Katanya pada masa itu, mangsa hanya berada pada jarak lima meter darinya.

“Ketika mengangkat jala, pengadu menoleh ke belakang dan mendapati mangsa tiada dan hanya melihat seliparnya berada di tempat kali terakhir dia berdiri.

Pasukan SAR mengangkat mayat mangsa ke dalam bot selepas dijumpai kira-kira jam 12.20 tengah hari ini pada jarak tiga meter dari lokasinya dilaporkan jatuh.

“Pengadu khuatir mangsa terjatuh ke dalam sungai dan mencari mangsa di dalam sungai tetapi gagal menjumpainya,” katanya.

Suara Sarawak