LUNDU: Kerajaan Sarawak masih menunggu kelulusan daripada Kerajaan Indonesia berhubung pelaksanaan penerbangan terus dari Kuching ke Pontianak.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Lee Kim Shin berkata, beliau berharap keputusan tersebut dapat diperoleh dalam masa terdekat supaya inisiatif tersebut dapat dilaksanakan semula pada tahun depan.

“Pihak Konsul Jeneral Indonesia di Kuching, Raden Sigit Witjaksono sentiasa memberi sokongan dan kerjasama kepada Sarawak khususnya dalam meningkatkan perhubungan pengangkutan.

“Malah pada bulan lepas kita sudah berbincang mengenai perkara tersebut dan Raden memberitahu beliau sudah menyatakan hasrat berkenaan kepada Jakarta.

“Jadi setakat ini masih menunggu kelulusan daripada Kerajaan Indonesia untuk membuka semula laluan perhubungan udara tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan kerja rasmi ke Imigresen, Kastam, Kuaratin dan Keselamatan (ICQS) Biawak di Pejabat Daerah Lundu, hari ini.

“Saya fikir kita akan mendapat keputusan tidak lama lagi dan mungkin tahun hadapan akan dapat dilaksanakan semula.

“Tetapi bermula pada bulan bila, ia belum dapat dipastikan lagi. Kita masih menunggu jawapan dari Jakarta,” ujarnya.

Pada September lalu, Lee memberitahu Kerajaan Sarawak akan berbincang dengan Indonesia bagi memulakan penerbangan terus dari Kuching ke Pontianak.

Beliau berkata, pihaknya juga difahamkan syarikat penerbangan AirAsia sudah memohon untuk memulakan penerbangan bagi laluan tersebut dan berharap ia dapat direalisasikan segera supaya sektor pengangkutan negara dapat kembali seperti sebelum pandemik Covid-19.

Suara Sarawak