KUCHING: Menunggu lebih sehari demi menjual buah kelapa sawit, itu keadaan yang dialami peladang kecil kelapa sawit khususnya di Daerah Lundu, disebabkan oleh tindakan Kilang Kelapa Sawit FGV di Sampadi, Lundu yang menyekat pembelian Buah Tandan Segar (BTS).

Menurut Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen, setelah dimaklumkan mengenai perkara itu, beliau bersama Ahli Parlimen Mas Gading Mordi Bimol telah melawat ke kilang berkenaan bagi mendapatkan kepastian.

“Semasa lawatan, kami melihat kira-kira 40 lori menunggu di luar pintu kilang. Sebahagian daripada mereka telah menunggu lebih daripada satu hari.

Chong dan Mordi bercakap dengan peladang kecil yang berdepan masalah menjual buah kelapa sawit di Kilang Kelapa Sawit FGV di Sampadi, Lundu.

“Menurut beberapa peladang kecil, keadaan sebegitu telah berlaku sejak November dan mereka mengalami kerugian akibat penolakan dan sekatan ke atas pembelian BTS.

“BTS perlu dijual ke kilang untuk diekstrak dalam tempoh 3-4 hari selepas dituai dari pokok, jika tidak, buah akan reput dan terbuang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Susulan itu, Chong berkata telah bertemu dengan pengurus kilang dan dimaklumkan bahawa kilang itu sedang menjalani kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan sejak beberapa minggu lalu mengakibatkan sekatan dalam pembelian BTS.

Chong dan Mordi semasa mengadakan perjumpaan dengan Kilang Kelapa Sawit FGV di Sampadi, Lundu.

Bagaimanapun, katanya pengurus kilang itu berjanji untuk menyegerakan dan mula menerima dan membeli BTS selewat-lewatnya petang ini walaupun syarikat telah mengeluarkan notis tidak menerima sebarang BTS untuk semalam dan hari ini.

Selain itu, beliau berkata turut menjadi rungutan peladang kecil terbabit ialah proses penimbangan oleh FGV adalah sangat perlahan dan sepatutnya dipercepatkan.

Justeru, katanya memandangkan FGV dimiliki oleh Felda yang merupakan sebuah agensi kerajaan, beliau menggesa menteri bertanggungjawab untuk meneliti perkara itu.

“Pemilik ladang kecil bergantung semata-mata kepada penjualan BTS, jika mereka tidak dapat menjual BTS dengan cepat, mereka akan mengalami kerugian.

“Kementerian berkaitan hendaklah mengutamakan kepentingan pemilik ladang kecil ini,” katanya.

Chong menambah apabila semakin banyak pokok kelapa sawit semakin matang, kilang tersebut perlu dinaik taraf untuk menampung peningkatan pengeluaran BTS.

Sehubungan itu, katanya menteri bertanggungjawab mesti bertindak sekarang kerana jika tidak masalah sedemikian akan berulang dalam masa terdekat.

Suara Sarawak