KUCHING: Pasukan UAZ NEXTGENERATION berjaya merangkul gelaran juara kategori PUBG Mobile sempena Kejohanan Muay Thai Piala TYT Yang Dipertua Negeri Sarawak 2022.

Pilihan popular itu mempamerkan aksi cukup memukau pada pusingan dua terakhir dengan memperoleh kemenangan Winner Winner Chicken Dinner (WWCD) berturut-turut.

Naib juara disandang GB06 Enforce Royale yang bermain secara konsisten walaupun tiada sebarang WWCD diperoleh.

UNTUK KENANGAN… Jumaat Ibrahim (berdiri tiga kiri) bersama-sama tetamu lain dan peserta selepas majlis penyampaian hadiah.

Tempat ketiga milik SM New Era yang bermain secara konsisten untuk menyingkirkan DBD Terminator yang sekadar berpuas hati di tempat keempat yang dibeza dengan dua mata.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Presiden Persatuan Muaythai Negeri (PMNS) Jumaat Ibrahim selaku penganjur utama pertandingan itu.

Menurut Jumaat, pertandingan itu diadakan sebagai sampingan sempena Kejohanan Muay Thai Piala TYT bagi memberi peluang kepada pencinta sukan elektronik atau e-sports tempatan mengambil bahagian.

“Alhamdullillah, sambutan terhadap pertandingan ini sangat memberangsangkan membuktikan e-sports ini semakin diminati golongan belia hari ini.

“Kita akan berusaha menyertakan pertandingan e-sports seperti ini sebagai aktiviti sampingan kejohanan Muaythai lain yang akan datang,” ujar beliau.

Suara Sarawak