KUCHING: Seorang penganggur wanita dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah, September lalu.

Tertuduh Lydiawati Saharie, 38, dari Kampung Semariang Batu mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nursyaheeqa Nazwa Radzali.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh di bawah pengawasan pihak polis selama dua tahun selepas menjalani hukuman penjara.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memasukkan dadah terlarang jenis Methamphetamine ke dalam badannya.

Dia melakukan kesalahan itu di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Padawan, kira-kira jam 3.40 petang, 26 September lalu.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952 (Akta 234) dan dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di mahkamah yang sama, seorang lelaki dijatuhi hukuman denda RM2,700 atau penjara lima bulan kerana mengambil dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine, September lalu.

Tertuduh Mohammad Farizul Sharif, 26, mengaku bersalah atas kesalahan di bawah Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952 (Akta 234) dan dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama.

Dia melakukan kesalahan itu di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPK Sarawak, kira-kira jam 8.40 malam, 28 September lepas.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak