PADAWAN: Seorang wanita warganegara asing ditemui mati di sebuah pangsapuri, Synergy Square, Jalan Matang, di sini, hari ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, mangsa, 82, warganegara Kanada ditemui terbaring terlentang di tepi timbunan kotak tisu yang berselerak.

Katanya, kejadian dilaporkan kira-kira jam 4 petang dari seorang pengadu yang memberitahu ada terhidu bau busuk di kediaman rumah mangsa.

Mangsa, 82, ditemui terbaring terlentang di tepi timbunan kotak tisu yang berselerak.

“Ketua Polis Balai dan dua anggota dari Balai Polis Batu Kawa telah ke lokasi kejadian. Pintu hadapan rumah terpaksa diumpil dengan besi disebabkan berkunci dari dalam.

“Keadaan si mati ketika dijumpai telah berulat dan bahagian muka dalam keadaan tidak sempurna,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abang Zainal berkata, makluman daripada pengadu di lokasi memberitahu mangsa tinggal berseorangan dan dipercayai telah tinggal di rumah tersebut lebih kurang 10 tahun.

“Pihak perubatan Hospital Umum Sarawak (HUS) yang hadir mengesahkan kematian mangsa,” ujarnya.

Tambahnya, tiada sebarang tanda jenayah mahupun penemuan objek tajam ataupun tumpul di tempat kejadian mangsa ditemui mati.

“Mangsa telah dihantar ke bilik mayat HUS untuk membuat ujian calitan Covid-19,” jelasnya.

Dalam pada itu, katanya, pihak polis menyeru orang ramai yang ada mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian untuk tampil membantu siasatan polis.

Suara Sarawak