KUCHING: Seorang lelaki warga asing dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, terlibat pertaruhan judi perlawanan bola sepak Piala Dunia Qatar 2022 pada 26 November lepas.

Tertuduh Diky Anrena, 22, berasal Singkawang Tengah, Kalimantan, Indonesia mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 6(1) Akta Pertaruhan 1953 yang dibacakan di hadapan Majistret Zaiton Anuar.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kedai makan di Jalan petanak, sekitar jam 1.50 petang, 26 November lepas.

Sabit kesalahan, boleh dihukum denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.

Selain itu, Hakim Mahkamah Sesyen Maris Agan menjatuhkan hukuman penjara empat bulan terhadap tertuduh atas kesalahan tinggal lebih masa di negara ini selepas pas lawatannya tamat tempoh pada 31 Oktober lepas.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002) dan boleh dihukum mengikut Sekyen 15(4) Akta yang sama.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara secara serentak berkuat kuasa dari tarikh tangkap pada 26 November lalu.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ruvinasini Pandian dan Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak