MUKAH: Seorang wanita warga emas cedera ketika cuba menyelamatkan diri dalam kebakaran sebuah rumah jenis tidak kekal di Kampung Paloh, awal pagi tadi.

Insiden kira-kira jam 5.00 pagi itu mengakibatkan mangsa berusia 63 tahun melecur di tangan dan belakang kepala.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, ketika kejadian, mangsa bersama-sama lima anggota keluarganya berada di dalam rumah sebelum sempat keluar untuk menyelamatkan diri.

Keadaan kediaman mangsa yang musnah dalam kebakaran di Kampung Paloh, Tanjung Manis.

“Kesemua mereka berusia 12 hingga 72 tahun terselamat namun, mangsa mengalami kelecuran. Kejadian mengakibatkan kediaman mangsa musnah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Api berjaya dikawal daripada terus merebak dengan bantuan pasukan bomba komuniti dan penduduk kampung.

Sehubungan itu, pasukan bomba turut melakukan pemantauan dan menjalankan Pusat Sehenti Pasca Insiden (PSPI) bagi mengelak kejadian berulang.

“Operasi tamat sepenuhnya pada jam 11.20 pagi. Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” ujarnya.

Suara Sarawak