KUCHING: Lelaki warga emas disahkan meninggal dunia dalam insiden kemalangan jalan raya yang berlaku di Jalan Baitulmakmur, kira-kira jam 6 petang, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, mangsa yang mengalami kecederaan akibat kejadian meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS).

“Mangsa berusia 62 tahun, mengalami kecederaan akibat daripada kemalangan ini telah dikejarkan ke HUS.

MAUT…Keadaan dua buah kenderaan yang berlanggar di jalan Baitulmakmur.

“Ketika menerima rawatan, mangsa disahkan meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa sedang memandu dari arah jalan Tun Abdul Rahman Yaakob menghala ke jalan Astana.

“Kenderaan dipandu mangsa telah melanggar bahagian belakang sebuah kereta yang dalam perjalanan masuk ke persimpangan bangunan Baitulmakmur,” ujarnya.

Susulan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya sehingga menyebabkan kematian.

Beliau dalam pada itu menasihatkan orang ramai khususnya pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa yang mengawal lalu lintas dan memandu dalam kelajuan yang selamat.

Suara Sarawak