SIMUNJAN: Keputusan cadangan pembinaan hospital tambahan di daerah Simunjan akan diketahui sejurus Rolling Plan keempat Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) dikeluarkan dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni berkata, cadangan tersebut antara perkara tersenarai di dalam Rolling keempat RMK-12 hasil kajian daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak.

Menurutnya, ia antara 18 projek tambah baik yang disenarai pendek bagi meningkatkan infastruktur kesihatan di kawasan luar bandar Sarawak.

MESRA….Lukanisman (tengah) bersama-sama Rodiyah (kanan) dan Awla (kiri) menyantuni seorang pesakit kanak-kanak di klinik kesihatan Simunjan.

“JKR telah membuat satu kajian menerusi cadangan daripada pihak pengarah Hospital Simunjan dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak iaitu untuk membangunkan hospital tambahan.

“Senarai tersebut sedang dikumpul untuk dimuktamadkan dalam tempoh beberapa bulan akan datang,” katanya dalam sidang media selepas melakukan lawatan kerja di Klinik kesihatan Ibu dan Anak Bandar Simunjan, hari ini.

Tegasnya, tidak semua cadangan akan ditunaikan dan dilaksanakan memandangkan beberapa projek terdahulu masih belum dilunaskan.

BERCAKAP…Lukanisman (tengah) bercakap pada sidang media lawatan kerja di klinik kesihatan Simunjan.

Tambahnya, keutamaan juga akan diberikan kepada projek-projek mendesak serta penambahan doktor di klinik atau hospital kawasan luar bandar.

“Keutamaan akan diberikan kepada klinik-klinik dan hospital yang memerlukan perhatian.

Suara Sarawak