FRANCIS HARDEN dan isteri, Datin Simba Nalang menyerahkan sumbangan kepada salah satu keluarga pada Program Sejambak Kasih TBC 2023 di Simanggang, kelmari

SIMANGGANG: Sikap pemurah untuk berkongsi kekayaan pada musim perayaan berjaya membahagiakan golongan yang kurang bernasib baik.

Timbalan Menteri Pembangunan Bakat Datuk Francis Harden Hollis berkata, amalan berkongsi rezeki pada setiap musim perayaan masih subur dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

“Saya bangga kerana masih ada masyarakat yang mempunyai sikap pemurah, sanggup berbagi kekayaan bersama-sama golongan yang memerlukan menjelang sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) 2023, Ahad depan,” katanya.

Beliau yang juga Adun Simanggang berkata demikian pada Program Sejambak Kasih TBC 2023 anjuran Pertubuhan Meninggikan Akhlak Che Chuan Khor Sri Aman, kelmarin.

Jelasnya, kira-kira 200 penduduk diberikan bakul makanan berupa barangan keperluan harian.

“Tahniah kepada Pertubuhan Meninggikan Akhlak Che Chuan Khor Sri Aman yang berjaya mengkoordinator program seumpama ini setiap tahun bagi meringankan beban mereka yang kurang bernasib baik untuk menyambut perayaan seperti orang lain.

“Terima kasih juga kepada Huang Suok Ing serta individu lain yang turut mengambil bahagian memberi sumbangan kepada golongan yang memerlukan.

“Bersempena ketibaan tahun arnab mengikut kalendar masyarakat Cina, adalah diharapkan dengan sifat yang mesra, manusia akan dapat mewujudkan kehidupan yang harmoni.

“Di samping memperoleh kekayaan dan kesejahteraan hidup, serta terhindar daripada bencana dan malapetaka,” ujarnya.

Harden terdahulu diberikan penghormatan untuk mengecat mata singa atau upacara “eye doting” milik Pertubuhan Che Chuan Khor Sri Aman bagi menandakan permulaan musim perayaan TBC.

Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Sri Aman Vivian Engkiong, Pengerusi Pertubuhan Meninggikan Akhlak Che Chuan Khor Sri Aman Temenggong Kueh Aik Seng serta penaja utama Huang Suok Ing turut hadir sama.

Suara Sarawak